KUALA LUMPUR — Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan bebas bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
“Hasil siasatan bersama syor akan dikemukakan kepada Perdana Menteri serta Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan dakwaan mengenai pegangan saham Azam dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, seperti dilaporkan sebelum ini.
Azam bagaimanapun menegaskan bahawa pegangan saham bernilai kira-kira RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi semua prosedur. Beliau turut menjelaskan bahawa pemilikan berkenaan telah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham yang dibeli tahun lalu sudah pun dilupuskan dalam tempoh yang sama.
