
Pergolakan dalaman Sapura Group semakin memuncak berikutan perkembangan terkini kes saman antara Tan Sri Shahril Shamsuddin dan adiknya Dato’ Shahriman Shamsuddin.
8 Mei lalu media melaporkan Tan Sri Dato’ Seri Shahril Shamsuddin bekas Pengerusi Sapura Energy Berhad disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.
Ia sebuah kisah lama melibatkan beberapa pelaburan selepas penggabungan Sapura Kencana Petroleum Berhad (SKPB) dan Sapuracrest Petroleum Berhad yang kemudian dikenali sebagai SEB. Jika ia melibatkan Sapura Kencana sudah pasti Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir dipanggil bersama kerana Mokhzani melalui syarikat pegangannya, Khasera Baru Ltd telah menjual 190.3 juta saham dalam Sapken yang mana beliau telah memperolehi RM820 juta.
Menurut SPRM, fokus siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu berhubung pemberian isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), ‘branding fee dan private placement’ dari 2012 hingga 2021.
Sekalipun isu ini pernah dibangkitkan oleh Rafizi Ramli dan ketika itu dipertahan Perdana Menteri 6 Najib Tun Razak isu gaji telah dijawab sebelum ini bahawa sebahagian besar daripada gaji tinggi Shahril berkait rapat dengan perjanjian saham (share covenant) yang dimeterai bersama 14 institusi kewangan semasa Sapura Energy membiayai semula pinjaman berjumlah RM14 bilion pada tahun 2014. Selain penentuan gaji oleh Lembaga Pengarah
Menurut perjanjian itu, Shahril diwajibkan mengekalkan pegangan saham melebihi 10% dan terus memegang jawatan CEO. Sekiranya beliau menjual sahamnya di bawah paras tersebut atau meletakkan jawatan, pinjaman tersebut berisiko gagal bayar (default).
Salahguna kuasa dan penyelewengan kewangan, mengapa SPRM belum siasat Dato’ Shariman Shamsudin?
The Corporate Secret sebelum ini mendedahkan konflik kepentingan, salah guna kuasa dan penyelewangan oleh Dato’ Shariman Shamsudin bekas Pengarah Urusan Sapura Resources Bhd. Dato’ Shahriman kini telah meletakkan jawatan pada 30 Oktober 2024.
Dua artikel The Corporate Secret mendedahkan salah guna kuasa dan penyelewengan wang Dato’ Shahriman Shamsuddin iaitu;
ARTIKEL PERTAMA : Salah guna kuasa & penyelewengan wang Dato’ Shahriman Shamsuddin bakal lenyapkan 6000 pekerjaan dalam Sapura Group – 10 November 2024

Pada Julai 2023, Sapura Resources Berhad (SAPRES) memilih untuk keluar dari divisyen penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO). Unit penerbangan milik Sapura sepatutnya dijual kepada RoyalJet, sebuah syarikat jet peribadi mewah yang berpusat di Abu Dhabi namun perjanjian itu tidak dibuat dengan anak syarikat Sapura Resources tetapi syarikat milik Dato’ Shahriman, Explorer Group Sdn Bhd yang juga Pengarah Urusan Sapura. Tindakan ini didakwa bertujuan menyedut nilai komersial unit penerbangan tersebut secara tidak sah, sekali gus mengalihkan potensi keuntungan besar daripada Sapura kepada pihak Dato’ Shahriman.
Ini jelas konflik kepentingan yang menggusarkan pemegang saham SAPRES.



Namun disatu pihak Dato’ Shahriman dilihat menipu rombongan bekas Yang Dipertuan Agong dan Menteri MITI ke lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Semua urusan perniagaan dengan Royaljet seolah-olah dilakukan dengan Sapura Resources tetapi sebenarnya kepada syarikat miliknya sendiri Explorer Group Sdn Bhd. Bolehkah Dato’ Shahriman dipercayai?


Selain itu Lembaga pengarah SAPRES juga membangkitkan isu mengenai tindakan beliau melantik seorang kakitangan wanita yang tidak berkelayakan untuk menjadi pembantu peribadi beliau dengan gaji yang tinggi tetapi wanita tersebut ditempatkan untuk bekerja di syarikat Explorer Group Sdn Bhd miliknya yang telah mencetuskan konflik kepentingan kepada perniagaan syarikat.
ARTIKEL KEDUA: Konflik kepentingan: Datuk Shahriman Shamsuddin bekas MD Sapura Resources dilapor polis dan SSM – 11 Mac 2025

Semua bukti dan dokumen yang didedahkan menunjukkan Shariman terpalit dalam pelbagai dakwaan serius, termasuk penyelewengan dana, salah guna kuasa, dan konflik kepentingan sewaktu beliau menjadi Pengarah Urusan Sapura Resources Berhad.

Susulan itu Sapura Resources Bhd membuat laporan polis susulan aduan rasmi dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana pelanggaran amanah fidusiari sebagai pengarah syarikat yang jelas melanggar Akta Syarikat 2016 selain manipulasi pengurusan dan pemilikan aset oleh Dato’ Shahriman Shamsuddin.
Apa tindakan pihak berkuasa selepas aduan kepada Polis, SSM dan Suruhanjaya Sekuriti?
Setakat ini belum ada tindakan dibuat maka jika SPRM sudah mula menyiasat adalah lebih baik SPRM menyiasat Dato’ Shariman sekali. Jika Tan Sri Shahril disiasat maka mengapa Shahriman tidak disiasat atas dakwaan yang hampir serupa dalam entiti Sapura Resources?
Petisyen pembubaran Sapura Holdings
Kegilaan Dato’ Shahriman dan sikap sombongnya tidak kisah kepada 6000 pekerja Sapura Resources. Pada 23 September 2024, Shahriman telah mengemukakan petisyen untuk membubarkan Sapura Holdings, kenderaan pelaburan keluarga, sebagai balasan terhadap siasatan dan penggantungan Sapura Resources terhadap beliau.

Pada 15 Mei lalu Hakim yang mendengar petisyen penggulungan Sapura Holdings Sdn Bhd telah mengarahkan galeri awam dikosongkan daripada orang awam, termasuk wakil media. Hanya beberapa individu terpilih dibenarkan untuk kekal di dalam mahkamah. Sambungan perbicaraan dijadualkan pada 21 Mei. Galeri awam dijangka akan dibuka semula selepas selesai sesi soal balas terhadap Tan Sri Shamsuddin.
Kedua-dua Sharil dan Shahriman masing-masing memiliki 40.5% saham langsung dalam Sapura Holdings, manakala entiti yang mereka miliki bersama, Brothers Capital Sdn Bhd, memegang 15% saham. Datuk Rameli memiliki baki 4% pegangan dalam syarikat itu.
Sapura Resources saman Dato’ Shahriman, tuntut ganti rugi RM3.22 juta
Susulan salahguna kuasa dan bukti penyelewengan Dato’ Shahriman, Sapura Resources Bhd bersama anak syarikatnya, Sapura Aero Sdn Bhd dan Aerodome Fife Sdn Bhd, memfailkan saman terhadap bekas Pengarah Urusannya, Dato’ Shahriman Shamsuddin, serta dua lelaki berketurunan arab Syed Haroon Omar Alshatrie, Syed Muhammad Hasan Alsagoff dan syarikat Explorer Group Sdn Bhd kerana gagal melaksanakan amanah, melanggar undang-undang, kontrak dan etika perniagaan.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM3.22 juta.
Menurut Sapura Resources berlaku salah urus dalam bayaran yuran perundingan, pampasan pekerja dan kos operasi lain, termasuk dana yang dikatakan disalah guna berkaitan Malaysia Airports Holdings Bhd dan skim pemisahan sukarela.
Sapura Resources menanggung kerugian besar akibat tindakan tersebut, termasuk potensi kehilangan peluang perniagaan seperti penyenaraian awal (IPO) bernilai RM82.1 juta.

SIAPA SYED HAROON BIN OMAR ALSHATRIE DAN SYED MUHAMMAD BIN HASAN ALSAGOFF?
Mengapa Dato’ Shahriman membayar gaji tinggi kepada Syed Haroon Bin Omar Alshatrie (anak Dr Syed Omar Al Shatrie) dan Syed Muhammad Bin Hasan Alsagoff? Walaupun gaji mereka dibayar oleh Sapura Resources namun bekerja untuk Dato’ Shahriman termasuk membantu Explorer Group Sdn Bhd.
Dato’ Shahriman terlalu taksub dengan Habib Dr. Syed Omar Alshatrie seorang tokoh agama dalam komuniti Hadrami di Malaysia. Dibayar RM70 ribu sebulan dan dalam masa sama anaknya Syed Haroon diberi kerja.

Untuk rekod Syed Haroon bin Omar Alshatrie diberi jawatan Ketua Bahagian Hartanah (Head: Property Division) di Sapura Resources Berhad. Bertanggungjawab dalam pengurusan dan pembangunan portfolio hartanah SRB, termasuk projek-projek strategik seperti Permata Sapura manakala Syed Muhammad bin Hasan Alsagoff merupakan bekas Ketua Operasi / Pengurus Besar di Sapura Resources Berhad. Sebelum ini pernah berkhidmat di Sapura Secured Technologies dan GE Oil & Gas.
Lantaran itu dua nama ini disebut dalam saman Sapura Resources Bhd terhadap Dato’ Shahriman.

SIAPA DALANG DI BELAKANG DATO’ SHAHRIMAN?
Terdapat sumber mendedahkan isteri baharu Tan Sri Shamsuddin, Puan Sri Mariam Parineh asal Iran merupakan dalang menasihati Dato’ Shahriman. Mariam Parineh asalnya adalah kawan baik kepada Shahriman kerana bantuannya sebelum ini mendapatkan anak angkat daripada Iran namun tiba-tiba menjadi isteri kepada bapanya Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir.

Lebih mengejutkan selepas Tan Sri Shamsuddin berkahwin dengan Puan Sri Mariam Parineh pada tahun 2012 Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, menyaman dua anaknya, Tan Sri Shahril dan Datuk Shahriman kerana beliau mahu mendapatkan kembali aset bernilai RM450 juta yang diberikan kepada mereka sebagai hadiah selepas kematian isteri beliau, Puan Sri Siti Sapura Husin. Aset itu merupakan saham milik arwah Puan Sri dalam perniagaan. Perkara ini akhirnya diselesaikan di luar mahkamah.
Pada 26 Julai 2022, Tan Sri Shamsuddin memindahkan SEMUA sahamnya dalam Sapura Industrial Berhad kepada Puan Sri Mariam, yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut. Ini bermakna Sapura Industrial Berhad dikawal sepenuhnya oleh Puan Sri Mariam. Malah Mariam Parineh kini sedang mengorak Langkah untuk membina legasi baharu dengan melenyapkan legasi lama atas nama Sapura.


Pembubaran keseluruhan Kumpulan Syarikat Sapura nampaknya adalah idea Mariam Parineh dan Shahriman. Ini belum masuk lagi nasihatnya untuk menjual Permata Sapura, sebuah bangunan 52 tingkat bernilai RM1.3 bilion, pada harga jauh lebih rendah daripada nilainya.
Salahguna kuasa dan penyelewengan Dato’ Shahriman menggunakan syarikat peribadinya Explorer Group Sdn Bhd adalah sangat jelas. Maka SPRM wajar menyiasat dan menahan Dato’ Shahriman.