
CYBERJAYA, 7 Jun 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa data telefon bimbit yang diperoleh daripada syarikat telekomunikasi digunakan semata-mata untuk tujuan penyediaan statistik rasmi negara dan tidak melibatkan sebarang pelanggaran privasi pengguna.
Dalam satu kenyataan, MCMC menjelaskan bahawa data tersebut telah dinyahidentiti sepenuhnya dan tidak mengandungi maklumat peribadi yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.
“Tiada sebarang maklumat boleh dikenal pasti (Personally Identifiable Information – PII) dikumpul, diproses atau didedahkan melalui inisiatif ini,” tegas MCMC.
Dikenali sebagai Data Telefon Bimbit (Mobile Phone Data – MPD), maklumat ini menyokong dasar berasaskan bukti dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pelancongan. Antara penggunaannya termasuk penghasilan statistik langganan jalur lebar mudah alih dan kadar penembusan perkhidmatan di pelbagai peringkat – daripada negeri hingga ke pihak berkuasa tempatan.
Bagi sektor pelancongan, MPD digunakan untuk menganalisis bilangan pelawat serta pola pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa.
Menurut MCMC, syarikat telekomunikasi diberi dua kaedah pemprosesan data:
- Memproses MPD secara dalaman dan menyerahkan output yang telah digabung dan dianonimkan; atau
- Menyerahkan data yang telah dinyahidentiti kepada MCMC untuk diproses.
“Dalam kedua-dua pendekatan ini, tiada data individu yang boleh dikenal pasti dikongsi atau digunakan,” ujar kenyataan itu lagi.
MCMC turut memaklumkan bahawa penggunaan MPD merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan dalam memperkukuh ketepatan dan kecekapan pengumpulan data untuk kegunaan dasar awam. Inisiatif ini dilaksanakan dengan sokongan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Jawatankuasa Pakar PBB mengenai Data Raya dan Sains Data.
Sepanjang dua tahun lalu, pelbagai sesi libat urus telah dijalankan bersama syarikat telekomunikasi bagi memperjelas keperluan teknikal dan jaminan privasi, termasuk Bengkel Nasional MPD yang diadakan pada 2–5 September 2024 dengan penyertaan daripada Jabatan Perangkaan (DOSM), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, dan pemain industri seperti CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL.
MCMC menegaskan bahawa pendekatan ini adalah sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, sepertimana dilaksanakan di negara seperti Indonesia dan Brazil, yang berjaya menggunakan data telekomunikasi secara anonim tanpa menjejaskan privasi rakyat.
Justeru, MCMC menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat yang mengelirukan mengenai penggunaan MPD dan memberi jaminan bahawa privasi pengguna sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan inisiatif ini.